KAEDAH PENGAJARAN LAWATAN

BAHAGIAN A

1.0 PENGENALAN AM KAEDAH MENGAJAR.

Proses pengajaran dan juga pembelajaran merupakan antara elemen penting dalam memastikan para pelajar dapat memahami isi yang terkandung dalam mata pelajaran yang mereka pelajari.Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) menyatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur.

Kaedah mengajar boleh ditransformasi menjadi teknik mengajar apabila teknik yang digunakan adalah bersesuaian.Guru perlulah mengaplikasikan kaedah pengajaran yang berbeza dengan mengambil kira gaya pembelajaran pelajar yang berbeza.Penentuan kaedah pembelajaran bagi setiap pelajar mungkin berbeza kerana kerana setiap pelajar mempunyai perbezaan dari sudut kekuatan,kecenderungan dan juga minat.Selain itu,penggunaan kaedah yang berbeza juga mendatangkan pendekatan yang menyeronokkan dan pastinya dapat meransang minat pelajar dalam pembelajaran.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan melaui pelbagai bentuk dan kaedah.Kaedah pengajaran yang pelbagai boleh meningkatkan minat pelajar dalam menimba ilmu.Antara beberapa kaedah yang boleh dipraktikkan oleh guru ialah seperti berikut;

i. Syarahan.
ii. Penyelesaian Masalah.
iii. Amali atau bengkel.
iv. Tunjuk cara atau demonstrasi.
v. Projek.
vi. Simulasi.
vii. Interaktif.
viii. Lawatan
ix. Latih tubi.

Dalam BAHAGIAN B laporan ini,kaedah pengajaran secara lawatan akan diterangkan dengan lebih terperinci.


BAHAGIAN B

1.0 PENGENALAN KAEDAH PENGAJARAN LAWATAN

Lawatan sambil belajar adalah merujuk kepada aktiviti luar kelas yang melibatkan pelajar dan pensyarah seperti melawat sesuatu tempat,kawasan,kilang atau apa-apa yang melibatkan proses mendapatkan ilmu pengetahuan.Aktiviti lawatan sememangnya menjadi satu aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh pelajar kerana mereka berpeluang untuk meneroka kawasan baru dan mempelajari ilmu yang mungkin tidak pernah diterokai sebelum ini.

Lawatan sambil belajar akan memudahkan proses pembelajaran kerana suasananya yang berbeza daripada suasana di kelas biasa. Kadangkala pelajar lebih mudah menerima sesuatu ilmu itu jika suasananya berbeza daripada kebiasaannya.Lawatan sambil belajar ini boleh mengatasi masalah kebosanan pelajar terutama terhadap mata pelajaran tertentu yang memerlukan penumpuan dan perhatian yang tinggi seperti Sejarah.Ini menjadikan proses pembelajaran menjadi lebih efektif menerusi lawatan sambil belajar.


                                                (Gambar :Sumber Google)


2.0 KRITERIA KAEDAH PENGAJARAN LAWATAN

Menurut kajian Ariegusrini dan Mohamad Johdi (2009),kaedah lawatan berupaya untuk membentuk individu yang seimbang dan harmonis dari segi emosi,rohani, intelek dan sejajar dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara Malaysia.Semasa mengikuti lawatan,pelajar akan dapat membina hubungan sosial yang lebih baik di antara guru dan rakan-rakan selain dapat berinteraksi dengan alam sekitar dan persekitaran.Proses perlaksanaan bagi sesuatu lawatan ialah melibatkan prosedur sebelum lawatan,semasa lawatan dan selepas lawatan.Proses pembelajaran secara langsung dan realistik boleh menarik minat pelajar kerana tidak hanya dibelenggu pembelajaran di dalam di samping dapat memupuk keyakinan diri,kepimpinan serta sifat bekerjasama sesama rakan.

2.1 Sebelum Lawatan.

Sebelum melakukan proses lawatan,tempat yang bersesuaian haruslah dipilih agar bersesuaian dengan subjek dan menepati beberapa aspek seperti keselamatan dan lain-lain perkara.Selepas itu,pengurusan sekolah mestilah mendapatkan kebenaran daripada pihak pengetua,pihak tempat melawat,ibu bapa dan juga pihak polis atau bomba sekiranya melibatkan tempat yang berbahaya.Pengurusan kenderaan juga perlu dilakukan dengan baik supaya tidak timbul sebarang isu yang melibatkan undang-undang seperti pemandu tidak berlesen,bas yang tidak mempunyai cukai jalan dan juga keadaan kenderaan yang uzur.

Sebelum lawatan diadakan,pengurusan sekolah atau institusi hendaklah memberikan taklimat mengenai tentatif program,logistik,aktiviti yang bakal dijalankan dan juga aspek keselamatan yang perlu dititikk beratkan semasa mengikuti lawatan sambil belajar.Alatan kelengkapan seperti kotak kecemasan,senarai butaran diri pelajar dan nombor daftar kenderaan yang mengikuti lawatan perlu dibawa bersama semasa lawatan dijalankan .

2.2 Semasa Lawatan.

Semasa lawatan dijalankan, pelajar boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan supaya memudahkan proses melawat dijalankan dari satu tempat ke satu tempat.Guru pengiring boleh membuat sistem giliran mengikut kumpulan dan hal ini akan melancarkan lagi proses lawatan tersebut.Di smaping itu,hendaklah dipastikan bahawa setiap pelajar yang mengikuti lawatan sambil belajar dapat memberikan komitmen dan menglibatkan diri secara aktif.

Antara aktiviti yang boleh dijalankan semasa lawatan permainan kuiz.Pihak pengurusan tempat lawatan boleh memberikan penerangan dan soalan untuk dijawab oleh pelajar pada akhir lawatan.Aktiviti seperti bukan hanya memberikan ilmu tetapi memupuk semangat kerjasama antara pelajar.

2.3 Selepas Lawatan.

Bagi membincangkan hasil dapatan daripada lawatan sambil belajar,adalah sangat digalakkan bagi guru untuk mengadakan sesi perbincangan mengenai perkara-perkara yang dapat diperhatikan sepanjang menghadiri lawatan. Aktiviti susulan seperti membuat model,melukis poster atau mempamerkan benda yang berkaitan dengan lawatan boleh diadakan bagi mengukuhkan lagi pengetahuan pelajar.Satu laporan perlu disediakan untuk dinilai oleh pihak pengurusan sekolah atau institusi bagi melihat kebolehdapatan hasil daripada program lawatan yang disertai oleh pelajar mereka.


3.0 KESESUAIAN KAEDAH DAN APLIKASI YANG DIPILIH

Pemilihan sesuatu kaedah atau aplikasi mengikut kesesuaian dalam pembelajaran adalah penting kerana dengan cara ini guru dapat menarik perhatian pelajar terhadap pembelajaran,mengekalkan perhatian mereka dan menambah rasa ingin tahu dalam diri pelajar supaya guru dapat mencapai objektif yang telah digariskan dalam pengajaran guru.Antara faktor pemilihan kaedah pengajaran mengikut Al-Kailany(2016) ialah:

  • Kaedah mesti bersesuaian dengan tujuan dan matlamat pelajaran.
  • Kaedah seharusnya sejajar dengan objektif pelajaran yang hendak dicapai.
  • Kaedah yang boleh dan mampu untuk diaplikasi oleh guru.
  • Guru mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasi kaedah berkenaan. 


Sebagai contoh,dalam kaedah lawatan ia merupakan kaedah sokongan yang membolehkan pelajar menghayati dan melihat sendiri apa yang dipelajari di dalam buku pada situasi sebenar.Kaedah ini sesuai dilakukan dalam proses pembelajaran kerana kaedah ini mampu dilakukan mengikut kesesuaian umur pelajar itu sendiri.Pada kebiasaannya kaedah lawatan ini akan dikendalikan oleh pihak sekolah dalam konteks pelajar manakala bagi pelajar institusi pula ia dikendalikan oleh pelajar sendiri namun masih dibawah pemantauan pensyarah yang bertindak sebagai penyelaras ataupun penilai.Lawatan yang diadakan biasanya akan menjurus kepada subjek yang dipelajari oleh pelajar.Sebagai contoh,bagi subjek Pengurusan Projek,pelajar boleh membuat lawatan ke kilang berkaitan pengurusan manakala bagi sunjek Automatif pula,mereka boleh mengadakan lawatan ke Proton,Perodua mahupun mana-mana syarikat pemasangan kenderaan lain.


Kaedah lawatan ini bertujuan untuk memberikan kesempatan kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman secara langsung serta menarik.Selain itu,ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk merasai sendiri pengalaman sebenar dan mengaplikasikan apa yang mereka belajar dengan situasi sebenar.Melalui pengalaman yang mereka peroleh ini,secara tidak langsung dapat membantu pelajar untuk mengukuhkan ingatan dan kefahaman mereka tentang perkara-perkara yang mereka pelajari.Kaedah lawatan ini juga banyak menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara pihak sekolah dan masyarakat di mana hubungan yang terjalin secara tidak langsung dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

4.0 KEBAIKAN KAEDAH LAWATAN

Setiap kaedah pengajaran mempunyai kelebihannya yang tersendiri.Begitu juga dengan kaedah pengajaran melalui lawatan,terdapat beberapa kebaikan yang dapat disenaraikan melaui kaedah ini.Semua bentuk lawatan mempunyai matlamatnya masing-masing dan ianya hendaklah dirancang dengan penuh teliti.Kerap kali sekolah menganjurkan lawatan untuk memberikan peluang kepada para pelajar memperoleh pengajaran dan ilmu pengetahuan dalam keadaan yang sebenar.

Di samping itu,kaedah pengajaran melalui lawatan juga bakal memberikan pengalaman secara langsung kepada pelajar.Jika sebelumnya pelajar hanya menghadiri pembelajaran yang dikendalikan di dalam kelas, keadaan ini mungkin boleh memberikan kebosanan kepada pelajar.Jesteru itu,melalui kaedah lawatanlah pelajar akan melalui satu pengalaman yang baru dan menarik.Selain itu,lawatan juga memberikan kesempatan kepada pelajar untuk membuat perbandingan diantara perkara yang dipelajari di bilik darjah dengan yang asal.Sebagai contoh bagi matapelajaran Sains Tahun 1,pelajar dibawa melawat ke Zoo Negara dan mereka dapat melihat dan membuat berbandingan secara nyata mengenai saiz,warna dan ciri lain yang dipelajari.Perkara seperti ini pastinya akan menambah minat pelajar untuk belajar kerana tidak hanya diajar dengan sesuatu pelajaran melalui kaedah kebiasaannya sahaja.

Selain itu, melalui kaedah lawatan juga pelajar dapat mengukuhkan lagi ingatan mereka terhadap perkara yang dipelajari.Sebagai contoh bagi matapelajaran Sejarah,pelajar tidak hanya mengimaginasi dan melihat gambar batu bersurat yang dijumpai di Kuala Terengganu melalui buku atau penceritaan dari guru semata-mata,tetapi apabila dipamerkan dengan monumen asal di Muzium Negeri Terengganu,pastinya ia akan membuatkan hal tersebut lebih diingati dan sampai ke hati pelajar.Walaupun secara teorinya pelajar boleh mempelajari subjek ini dengan baik,namun pelajar masih belum mendapat gambaran yang jelas tentang apa yang diajar oleh guru.Penerangan yang berbentuk alam maya dan teori semata-mata tidak mencukupi untuk membuka minda pelajar tentang realiti dunia Sejarah.Konsep seperti ini hanya boleh kita dapati melalui kaedah pengajaran melalui lawatan.

Lawatan juga memberikan kesan yang positif terutamanya dari segi hubungan  antara masyarakat dan sekolah.Melalui lawatan akan berlakunya interaksi antara kedua-dua organisasi.Kepentingan hubungan sekolah dan komuniti ini selaras dengan pendapat Poston et al.(1992) iaitu,"You cannot build a great school alone.The school needs the community and the community needs the school".Hal ini pastinya memberikan gambaran betapa pentingnya hubungan baik di antara masyarakat dan sekolah.Kerjasama dan perpaduan di antara pelajar juga akan dapat dipupuk dengan adanya aktiviti lawatan ini.

5.0 KELEMAHAN

Di sebalik kebaikan yang diperoleh dari sesuatu proses,pastinya terdapat beberapa kelemahan yang harus ditempuhi untuk menjayakannya.Antara kelemahan bagi kaedah pengajaran berbentuk lawatan ialah proses pengelolaan lawatan yang agak rumit.Lawatan sambil belajar memerlukan prosedur lengkap bermula dari menghantar kertas kerja kepada pihak pengurusan sekolah,menunggu kebenaran dari pihak sekolah,menghantar kertas kerja kepada institusi yang ingin dilawati dan kemudiannya menantikan keputusan daripada mereka.Sememangnya ia merupakan satu proses yang perlu diperincikan dengan baik,tersusuan dan teratur.

Selain itu terdapat juga masalah lain seperti kekangan kewangan dan masa. Kekangan kewangan menjadi masalah utama terutamanya apabila melibatkan sekolah yang mana sumber kewangannya agak terhad dan terpaksa meminta pelajar membiayai sendiri kos menyertai lawatan sambil belajar.Di sini akan timbul isu baru yang mana berkemungkinan akan menimbulkan konflik di antara waris yang kurang berkemampuan dengan pihak sekolah.Di samping itu,kekangan masa juga boleh menjadi salah satu faktor kelemahan kepada kaedah ini kerana melibatkan proses dan prosedur berantai yang ada kalanya menyebabkan ia terpaksa dibatalkan kerana menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran.

Kawalan keselamatan semasa lawatan sambil belajar adalah antara perkara yang perlu dititik beratkan oleh pengurusan sekolah dan menjadi antara faktor penyumbang kepada kelemahan kaedah pengajaran lawatan.Perkara pertama yang menjadi keutamaan ialah mendapatkan kebenaran daripada waris.Sedikit kesukaran akan dihadapi terutamanya apabila melibatkan pelajar dari sekolah rendah yang boleh dikategorikan sebagai aktif. Mereka mungkin akan berlari atau bermain-main di kawasan lawatan sehingga menyebabkan mereka terpisah daripada kumpulan.Dalam hal ini,pihak sekolah boleh mengambil inisiatif dengan memakaikan pengenalan diri dan sekolah pada setiap pelajar.

Antara kelemahan lain yang mungkin juga berlaku ialah semasa mengadakan lawatan pelajar tidak mengambil peluang yang diberikan untuk menimba ilmu tetapi sekadar bersuka-suka sahaja.hal ini akan menyebabkan objektif lawatan tidak dapat dicapai.Selain daripada itu, permasalahan juga mungkin timbul apabila pihak pengurusan tempat yang ingin dilawati tidak memberi kebenaran untuk diadakan lawatan sambil belajar di tempat mereka.Sebagai contoh kilang yang mengendalikan proses kimia tidak meluluskan lawatan ke syarikat mereka disebabkan oleh faktor keselamatan.

6.0 KESIMPULAN


Kesimpulannya ,kaedah pengajaran secara lawatan adalah sangat menarik dan boleh memberikan pengalaman secara langsung kepada pelajar.Selain itu,pelajar dapat membandingkan perkara yang dipelajari dalam kelas dengan situasi yang sebenar melalui kaedah lawatan.Kaedah lawatan juga membantu pelajar memperkukuhkan ingatan tentang perkara-perkara yang dipelajari selain dapat mempelbagaikan lagi aktiviti di sekolah.Di samping itu,kaedah lawatan juga boleh membantu mengukuhkan lagi hubungan diantara sekolah  dengan masyarakat dalam membentuk jalinan mesra sesama antara institusi.


7.0 RUJUKAN

Ashaari,O.(1996).Kaedah Pengajaran Sejarah.Malaysia:Utusan Publication  & Distributor Sdn. Bhd.

Bender, Y.(2008).Keberkesanan Dalam Pengajaran Secara Positif:Wisdom Mind Resources Sdn.Bhd.

Ahmad, Hishamuddin, and Siti Eshah Mokshein. “Pengaruh Pencapaian Biologi Dan Kimia Peringkat SPM Dalam Meramal Pencapaian Pelajar Bagi Subjek Biologi Manusia.” Sains Humanika, vol. 9, no. 4, 2017, doi:10.11113/sh.v9n4.457

Riyanto et al. “Omunikasi Pemasaran Terpadu (Imc) Sekolah Dasar Islam Terpadu Di Karanganyar.” Komuniti: Jurnal Komunikasi Dan Teknologi Informasi, vol. 9, no. 1, 2017, p. 63., doi:10.23917/komuniti.v9i1.4183.

“17. Polisi Keselamatan Semasa Menjalankan Aktiviti Kokurikulum SMKTI.” MyHem,myhemsmti.blogspot.com/2010/02/17-polisi-keselamatan-semasa.html.

https://www.researchgate.net/publication/310651096_Keberkesanan_lawatan_lapangan_maya_terhadap_pencapaian_murid_tahun_lima_dalam_matapelajaran_sains.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Makan di Juz Waffle, Batu Pahat.

Kerabu Tauge Pucuk Midin